Tuesday, January 23, 2007

NURUL TANYA JOE KIDD PASAL SCENE UNDERGROUND MALAYSIA




INTERVIEW | January 23rd 2007
questions by Nurul Aisyah
all answers by Joe Kidd



- Siapakah anda (band/perseorangan), asal, pekerjaan dan menetap di mana?

Joe, pemain gitar Carburetor Dung. Campuran Kelantan dan Terengganu. Web dan print designer, juga penulis sambilan. Menetap di KL.

- Boleh ceritakan perjalanan sejarah dunia muzik anda? Dari awal hingga sekarang.

Diperkenalkan dengan muzik serta "budaya serpihan" atau "subculture" punk ketika berumur 13 tahun; Mula berjinak dengan pelbagai jenis musik semenjak itu termasuk reggae, electronics, experimental, jazz, blues dan seterusnya. Mula main muzik bersama band sendiri sekitar umur 25 tahun.

- Apakah yang menyebabkan anda berjaya di dalam muzik seperti sekarang?

Kejayaan kami bukannya dari segi duit ataupun keselesaan material (kami semua mempunyai pekerjaan masing-masing untuk carimakan), ianya lebih condong kepada personal satisfaction dan juga keupayaan untuk kami berdikari tanpa rantaian syarikat rakaman korporat dan juga bergiat jauh dari pelbagai sifat-sifat negatif serta bacul yang ada dipersada industri muzik tempatan. Dari segi nilai-nilai tersebut, ya, kami amat berjaya. Kenapa? Antara sebab utama, D.I.Y. Kedua, kami degil. Ketiga, kami jalani aktiviti kami atas kehendak kami sendiri dan bukan atas arahan pihak luaran. Ianya satu "kemerdekaan" yang total untuk karya kami.

- Bagaimana scene underground pada awal pembabitan anda?

Dulu hanya ada sekerat, sekarang ribu-ribuan. Dulu hanya di setengah-setengah tempat, sekarang merata.

- Bagaimana scene underground sekarang anda lihat?

Band banyak, tapi kualitinya kurang. Kebanyakkan pemuzik sekarang tidak berani cuba menapak atau membawa arah muzik atau intisari yang baru. Kebanyakkannya hanya sekadar meniru apa yang dah ada, terutama trend-trend masa kini yang popular. Minda kebanyakkan orang muda sekarang juga tidak kritikal, dengan itu warna-warni yang mereka hidangkan agak hambar serta cetek; tidak menghambat pendengar supaya berfikir atau menghayati kermurnian santapan seni.

- Saya pernah terbaca di internet, tentang tulisan Joe Kidd Carburetor Dung mengenai tapak permulaan seni di Central Market. Boleh ceritakan apa yang berlaku sebenarnya di Central Market? (kalau tak boleh jawab, abaikan soalan ni)

Central Market adalah tempat utama untuk kami yang aktif didalam muzik underground berkumpul. Ianya bermula sekitar 1987/88. Boleh dikatakan semua yang aktif didalam dunia muzik kami semuanya lepak di CM, bertahun-tahun, beberapa genrasi, sehingga sebuah restoran yang kami guna untuk berjumpa tutup kedai awal tahun lepas.

- Saya selalu mendengar mengenai konsep DIY di dalam scene underground. Boleh ceritakan mengenai konsep DIY (do it yourself) di scene underground?

D.I.Y. Bikin sendiri. Tanpa campur-tangan pihak industri muzik atau yang lain yang kebanyakkannya hanya "menolong" untuk mengaut keuntungan yang selalunya berat sebelah. Ada pelbagai bentuk DIY yang dibawa; ada jenis DIY yang bikin-sendiri tapi masih menggunakan setengah pihak industri muzik yang ada untuk publisiti dan juga distribusi. Ada juga yang langsung 200% DIY tanpa campur-tangan apa saja yang ada. Dan pelbagai variasi diantara kedua yang disebut.

Ianya pilihan diri masing-masing dan juga mengikut nilai-nilai yang dipegang oleh diri masing-masing. Yang penting, budaya DIY membangun semangat diri untuk mencapai apa saja yang diimpikan secara usaha atau kerah tenaga sendiri dan bukan bergantung pada orang lain. Ianya menjana diri kita untuk terus maju tanpa tongkat-tongkat yang sebenarnya adalah pagar-pagar yang menyekat kebebasan kita berkarya secara jujur.

- Bagaimana DIY pada scene underground sekarang?

DIY undergound di Malaysia sentiasa membangun dengan pesat, banyak keluaran kreativiti bikin sendiri tanpa campur-tangan luaran dan juga mereka jauh dari eksploitasi industri muzik yang hanya semata ingin mengaut keuntungan tanpa menghiraukan hak-hak pemuzik sebagai artis dan sebagainya. Banyak antara kita yang terkenal diseluruh dunia, mengeluarkan rakaman diserata, termasuk Jepun, Eropah dan Amerika Utara. Ada juga yang telah mejelajah Eropah, Indonesia, Thailand, Jepun, Australia dan seterusnya. Ini semua sudah menjadi kebiasaaan didunia DIY, ianya tidak lagi dipandang sebagai sesuatu yang "special".

- Pada satu masa dahulu di dalam scene underground, saya pernah terbaca scene underground Malaysia telah berpecah, tidak unite, berlakunya perpecahan di kalangan undergrounders. Kenapa itu berlaku? Pada pandangan anda, adakah scene underground sekarang unite atau tidak?

Seperti mana-mana perkumpulan masyarakat yang lain, ada perbalahan dan ada juga persetujuan. Ketika dulu scene kami kecil, sekarang ianya amat besar, dengan pelbagai pandangan, ide-ide dan pegangan yang jauh berbeda; oleh itu perpecahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ianya perkara yang sememangnya normal dimana-mana sahaja.

- Pada zaman awal pembabitan anda di dalam scene underground, bagaimana anda memperkenalkan muzik anda kepada umum?

Sebenarnya dulu ianya lebih dengan cara "word of mouth", panggil kawan dengar lagu-lagu oleh band-band yang kita suka. Lepas tu kita mula menulis dan mengeluarkan fanzine-fanzine yang dijual secara murahan dan juga dihantar kepelusuk dunia. Seterusnya kita rakamkan 'demo", buat kaset sendiri dan edar anatara kita, dan sbgnya lah. Sekarang ada internet, oleh itu cara penyebaran info lagi senang juga meriah.

- Saya pernah terdengar pada tahun 1995 – 1999 banyak band underground Malaysia pernah membuat persembahan di luar Malaysia dan album terjual di luar, sedangkan ketika itu, kemudahan seperti myspace dan email tidak luas dipergunakan. Bagaimana ketika itu scene underground boleh begitu meriah sehingga ke peringkat luar?

Dunia DIY underground bergerak secara internasional, ianya semacam sebuah keluarga yang besar yang menjaring keseluruh dunia. Ianya juga tidak mementingkan "keuntungan" dari segi kewangan, malahan ianya mempunyai ciri-ciri utama yang lebih berkisar dipusaran minat terhadap muzik, dan juga agenda-agenda yang lebih kearah kemanusiaan dan kepentingan sejagat (keamanan, dunia tanpa prejudis, keadilan dan seterusnya); ini semua adalah nilai-nilai kemanusian yang umum, oleh itu ianya mempunyai pelbagai sokongan dari mereka-mereka yang sebulu diseluruh dunia. Sebuah band DIY di Malaysia sekarang bila-bila masa sahaja boleh mengadakan persembahan menjelajah serata dunia hanya dengan sokongan yang tersebut diatas. Ianya apa yang kita panggil sebagai "a global network of friends".

- Pada pendapat anda, bagaimana untuk menjadi sebuah band yang bagus dan dikenali?

Saya rasa originaliti adalah sifat yang amat penting. Juga intisari lirik-lirik yang ada perlu mempunyai nilai-nilai bernas dan juga jujur. Selebihnya adalah keupayaan untuk sentiasa berusaha tanpa disekat oleh elemen-elemen luaran.

- Pada pendapat anda, muzik Malaysia secara menyeluruh, kenapa muzik Malaysia tidak mampu ke luar?

Pada saya, industri muzik perdana yang kita ada, terutama semenjak pertengahan 80an adalah sebuah industri yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan hak-hak serta kehendak artis; seperti pengagihan royalti yang lebih adil tanpa berat menyebelahi pihak industri semata.

Mereka juga lupa untuk menjana pelbagai insentif yang baik untuk para pemuzik terus berkarya secara bebas dgn berani mencari pembaharuan. Yang ada sekarang adalah formula-formula muzik yang telah lama basi dan tidak mampu untuk bersaing dengan industri muzik international yang senantiasa bergerak secara progresif.

Dilemma ini adalah sama dengan apa yang dihadapi oleh pelajar-pelajar kita sekarang. Kualiti pembelajaran yang tidak tinggi serta menghalang kreativiti, yang hanya berkisar semata untuk meraihkan diploma-diploma dan degree-degree, walhal pemikiran dan juga kebernasan berfikir serta sifat-sifat pemikiran kritikal diabaikan sama sekali. Hasilnya? Manusia "robot" yang hanya mampu menerima arahan demi arahan tanpa mempunyai sifat individualiti berani yang penting untuk kita terus maju bersaing.

- Pada pendapat anda, bagaimana untuk memperkenalkan muzik Malaysia ke luar?

Saya rasa sebelum kita berborak tentang "memperkenalkan muzik Malaysia ke luar", apa yang lebih perlu adalah memperkenalkan diri kita kepada kepentingan "kritikal thinking", juga menimba budaya alternatif yang ada; kita perlu memeluk perbedaan yang ada tanpa prejudis dan juga mengenal hak-hak asasi kita sebagai manusia berfikiran yang perlu diambil berat dan tidak diperlekehkan.

Mereka yang jauh terbang adalah mereka yang bebas, terutama mereka yang bebas berkarya dan bersuara. Tanpa itu semua, apa yang ada adalah kepompong atau pagar-pagar dan kotak-kotak berkunci. Katak dibawah tempurung tidak akan kemana.

Terima kasih.

Carburetor Dung
http://carburetordung.kerbau.com
http://www.myspace.com/carburetordung








NURUL AISYAH @ NURUL HARYATI BIN ABDUL RAHMAN
25 TAHUN (1982)
SEORANG PENULIS BEBAS
PENDIDIKAN : SARJANA MUDA SEBARAN AM UITM (SEDANG MELANJUTKAN PENDIDKAN MASTER)
www.myspace.com/nurult